SIBU: Sekumpulan tiga lelaki yang berpura-pura memancing di tepi parit berdekatan sebuah rumah yang dihuni oleh pasangan warga tua dipercayai bertanggungjawab memecah masuk rumah mereka di Jalan Merlin, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, rumah pasangan warga tua tersebut dipecah masuk dan pencuri melarikan dompet pemilik rumah yang berumur dalam lingkungan 60-an.
Menurut pengadu, isterinya yang tidur di ruang tamu tingkat bawah hanya menyedari insiden tersebut selepas bangun sekitar jam 4 pagi ketika mendapati dua keping tingkap di dapur dibuka dan besi jeriji dalam keadaan bengkok.
Si isteri terus pergi mendapatkan suaminya yang tidur di tingkat atas untuk memeriksa keadaan di rumah mereka dan mendapati dua telefon bimbit turut hilang.
Setelah memeriksa keadaan di rumahnya, pengadu mendapati dompetnya yang mengandungi wang tunai beberapa ratus ringgit hilang di dalam bilik tidurnya.
Terdahulu, jiran pasangan warga tua itu seorang lelaki dan rakannya yang baharu pulang berhibur di bandar ini sekitar jam 2 pagi ada ternampak dua lelaki membawa parang dan pisau manakala seorang lagi berada dalam kereta Proton Saga berwarna putih sedang berlegar-legar di depan rumah pasangan warga tua tersebut.
Curiga dengan keadaan itu, dia bersama rakannya mendekati kereta Proton Saga berkenaan dan bertanya kepada lelaki yang berada dalam kereta tersebut.
Selepas, lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa mereka mahu memancing di tepi parit di situ, dia dan rakannya terus beredar dari situ tanpa mengesyaki apa tujuan sebenar tiga lelaki terbabit.
Pada pagi yang sama, pengadu memberitahu jiran tersebut mengenai apa yang terjadi pada malam itu.
Pengadu bersyukur kerana pencuri yang memecah masuk rumah mereka tidak mencederakan mereka berdua disebabkan mereka tidur lena.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sentral Sibu pada pagi yang sama.
To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.
0 ulasan